mutakhir

Mat motor tunjuk lagak, jatuh sendiri

Oleh Siti Rohana Idris

LAGAK seorang 'mat motor' mahu tunjuk hebat dengan menunggang secara melawan arus bagi mengelak ditahan polis berakhir apabila dia terjatuh sendiri.

Pada kejadian petang semalam, suspek berusia 30 tahun itu memecut Yamaha 125ZR secara melawan arus dari arah lampu isyarat Taman Uda Murni menghala ke Tanjong Mas.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menjalankan Ops Samseng Jalanan Trafik di lokasi berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya bergegas ke sebuah stesen minyak di Jalan Tok Guru di sini, jam 5 petang selepas mendapati kira-kira 100 penunggang motosikal berkumpul di lokasi berkenaan.

"Kumpulan itu cuba melarikan diri sebaik dihampiri dengan seorang daripadanya memecut secara melawan arus.

"Penunggang lelaki berusia 30 tahun terbabit turut mencelah di antara kenderaan lain.

"Dia yang berasal dari Kampung Alor Tal, Tumpat terus diekori sebelum tiba-tiba terjatuh. Dia kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan," katanya dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, pada operasi yang berakhir jam 8 malam, 99 motosikal dan dua kereta serta 105 individu termasuk lima wanita diperiksa.

Menurut beliau, 111 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan berkaitan nombor pendaftaran selain tiada lesen memandu.

"Dua lelaki berusia 19 dan 30 ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mereka ditahan kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 2:48pm
d