mutakhir

Ulu Sedili hingga Sungai Johor lokasi panas pendaratan PATI.

Oleh BERNAMA

KAWASAN sepanjang pantai Ulu Sedili hingga Sungai Johor di Kota Tinggi dikesan sebagai titik panas pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami berkata, dianggarkan 60 hingga 70 peratus kawasan berkenaan dilihat berpotensi sebagai kawasan pendaratan.

Beliau berkata, menerusi Ops Bersepadu Benteng oleh Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta lain-lain agensi penguatkuasaan, kawalan di sempadan negara sentiasa diperkukuhkan.

"Tujuan (Ops Bersepadu Benteng) kita bukan sahaja untuk menghalang kemasukan PATI tetapi dalam masa sama memastikan tiada penularan kluster baharu Covid-19.

"Menerusi operasi ini, kita akan pastikan tiada yang bolos. Yang lebih penting, kita mahu menghalang sempadan dimasuki kerana selain boleh membawa penularan kepada tahap yang lebih serius, dan dalam masa yang sama untuk mengekang penyeludupan barang terlarang," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Taktikal Operasi Merpati Satu di Tanjung Sepang di sini, petang semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kawasan titik panas pendaratan PATI di Johor.

Turut hadir Panglima Tiga Divisyen Mejar Jeneral Datuk Tengku Mohamad Fauzi Tengku Ibrahim; Panglima Markas Wilayah Laut Satu, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis serta Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mohd Nazir berkata, dengan koordinasi dan perkongsian maklumat risikan antara agensi, kawalan sempadan negara dapat diperkuatkan dan dipertahankan.

Sementara itu, Ayob Khan berkata menerusi lawatan dan perbincangan, beliau yakin ketiga-tiga agensi itu dapat menyelaras dan memperkemaskan lagi maklumat risikan untuk memastikan tiada pembolosan PATI.

"Memang kita tidak nafikan memang ada elemen daripada agensi terbabit bersekongkol dengan PATI dan seumpamanya.

"Kita akan ambil tindakan dan tidak akan bertolak ansur. Sebab kita boleh kategori mereka sebagai pengkhianat," katanya yang diminta mengulas terdapat dakwaan pihak berkuasa cuba melindungi tekong.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 3:09pm
d