mutakhir

Pasar 'kosong' akibat percaya berita palsu

Oleh Nazri Abu Bakar

MESEJ tular di media sosial mendakwa Pasar Borong Melaka di Batu Berendam, Melaka, dicemari Covid-19 menyebabkan peniaga di situ terjejas pendapatan akibat ketiadaan pelanggan.

Peniaga buah-buahan dan kuih raya,Yus Abd Malik, 37 berkata, keadaan di pasar berkenaan lenggang semalam, hingga menyebabkan peniaga buntu.

Katanya, menjadi kebiasaan pasar berkenaan dan kawasan peniaga kecil di luar pasar itu dipenuhi orang ramai yang membeli pelbagai keperluan harian terutama pada hujung minggu.

"Malah perniagaan juga rancak dan pendapatan peniaga juga agak melegakan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

"Namun hari ini (semalam), kami lebih banyak termenung daripada melayan pelanggan. Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum isu tular Pasar Borong Batu Berendam ditutup akibat pandemik Covid-19.

"Kasihanlah kami peniaga kecil yang mencari rezeki. Jika pelanggan tidak datang sudah pasti pendapatan kami terjejas. Apapun sebelum ini saya dan semua peniaga sudah menjalani saringan dan mereka bebas daripada wabak berkenaan.

"Walaupun terdapat salah seorang rakan peniaga dikuaratin namun mereka bebas daripada jangkitan," katanya kecewa.

Menurutnya, dia mengharapkan orang ramai jangan terlalu pantas menyebarkan berita yang tidak sahih sehingga menimbulkan suasana panik dan kebimbangan masyarakat di negeri dan negara ini.

Seorang lagi peniaga, Rozita Hamzah 44 berkata , isu tular terdapat peniaga terkena jangkitan Covid- 19 jelas menyebabkan kekurangan pelanggan yang ketara hari ini.

Katanya, dia juga kecewa dengan isu terbabit sehingga memberi impak kepada pendapatan peniaga akibat kebimbangan orang ramai untuk berkunjung ke pasar berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Shadan Othman berkata, dia juga menolak isu tular di media sosial berkaitan penutupan pasar berkenaan semalam.

"Penutupan pasar terbabit adalah rutin pada setiap 1 dan 15 haribulan setiap bulan bagi kerja-kerja pembersihan dan pemantauan tahap keselamatan kawasan berkenaan.

"Bagi memastikan keadaan terkawal MPHTJ jugamelakukan kerja-kerja sanitasi awam semalam selain kerja-kerjasanitasi sebaik pasar di tutup setiap hari,"katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 3:51pm
d