mutakhir

Pekerja asing dua sektor wajib jalani saringan

Oleh Mahaizura Abd Malik

KERAJAAN hanya mewajibkan dua kategori kumpulan pekerja asing sektor pembinaan dan khidmat kawalan keselamatan di kawasan zon merah Kuala Lumpur dan Selangor saja untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini hanya itu diputuskan kerajaaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri.

"Sebenarnya setakat ini yang kita wajibkan buat saringan hanya dua saja iaitu (pekerja asing) projek pembinaan dan pengawal keselamatan kerana terdapat kes Covid-19 positif berlaku dalam kalangan mereka.

"Bukan semua tetapi cuma pekerja warga asing saja itupun (yang berada) di kawasan merah di Kuala Lumpur dan Selangor walaupun tidak sepenuhnya merah tetapi pergerakan mereka masih bebas dan ia menyebabkan timbulnya dua kes warga asing di sektor itu.

"Maka kita wajibkan mereka membuat ujian kesihatan iaitu 'swab test' (dengan) sebahagiannya (kos) ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana 60 peratus pekerja asing ini mencarum Perkeso dan selebihnya ditanggung ditanggung majikannya," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas saranan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta kerajaan wujudkan SOP ujian Covid secara berkala ke atas pekerja asing dan tempatan termasuk kos ditanggung pihak berwajib.

Mengulas lanjut katanya, terpulang kepada pihak majikan jika mahu membuat saringan berkala kepada semua pekerja, namun segala kos harus ditanggung majikan.

"Kalau MTUC merasakan sekali (ujian) tidak mencukupi terserah kepada mereka berapa kali hendak buat kerana kesan Covid-19 positif kepada pekerja mereka yang terjejas adalah perniagaan mereka.

"Tetapi SOP nya tetap sama iaitu majikan tanggung kosnya," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 5:13pm
d