mutakhir

Mahasiswi rugi RM11,450 diperdaya Macau Scam

Oleh Juwan Riduan

SEORANG mahasiswi sebuah universiti tempatan di Labuan kerugian RM11,450 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah dan polis.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa berusia 21 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada dua lelaki mendakwa dari Mahkamah Labuan dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, pada 8 Mei lalu.

"Suspek mengatakan ada individu lain menggunakan identiti mangsa untuk membuka akaun.

"Suspek turut mengatakan akaun berkenaan terbabit dengan jenayah dan pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad berkata, bagi membersihkan nama mangsa daripada jenayah itu, suspek meminta mangsa untuk mendedahkan butiran akaun serta nombor pin bagi tujuan siasatan.

"Selepas maklumat akaun diberikan, mangsa mendapati wang berjumlah RM11,450 dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

"Mangsa berasa diperdaya kemudian datang ke Balai Polis Labuan bagi membuat laporan untuk polis menjalankan siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, Muhamad menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila mendapat panggilan yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis dan pegawai dari mahkamah.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 5:28pm
d