mutakhir

Polis 'buru' tiga pemilik FB

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung tiga pemilik akaun Facebook (FB) yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan dan hasutan terhadap Islam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat berhubung kenyataan menghina itu.

Menurutnya, setakat ini individu terbabit belum ditahan dan polis sedang mengesan mereka.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, beliau tergerak hati untuk tampil membuat laporan polis selepas terbaca kenyataan dimuat naik mereka ketika menteri sedang membuat ucapan secara langsung berkaitan kebenaran solat Jumaat.

"Saya lihat komen mereka berbaur rasis dan menghina agama Islam dan laporan dibuat itu bukan bersifat politik sebaliknya tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Laporan polis itu dibuat dua hari lalu dan saya berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan tegas," katanya.

Katanya, beliau juga bukanlah rasis kepada kaum lain tetapi ingin negara ini hidup harmoni dan aman.

Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 5:55pm
d