mutakhir

Warga JB patuh SOP

Oleh Mohamed Farid Noh

WARGA Bandaraya Johor Bahru mematuhi penjarakan sosial ketika berada di lokasi tumpuan awam terutama pasar awam, pasar basah dan pusat membeli belah.

Tinjauan di beberapa pasar raya mendapati pengurusan premis mengambil langkah tegas dalam mengawal pengunjung dengan membuat sistem imbasan QR Code untuk mengisi butiran peribadi sebelum dibenarkan masuk.

Malah lebih ramai pengawal keselamatan ditugaskan memantau penjarakan sosial pengunjung yang beratur di pintu masuk premis selain membuka lebih banyak pintu bagi memastikan orang ramai tidak bersesak.

Tinjauan di pasar basah di Tampoi pula mendapati orang ramai berbaris dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain.

Malah mereka patuh dengan arahan pengurusan yang menggunakan sistem giliran bernombor bagi mengehadkan pelanggan bagi satu-satu masa.

Pengurusan pasar berkenaan turut menambah petak penjarakan sosial di setiap lot niaga pasar bagi memastikan pengguna terus mematuhi SOP walaupun ketika sedang membeli barangan.

Seorang pelanggan, Shahrizal Mochamad, 31, berkata orang ramai kini sudah memahami sepenuhnya aspek penjarakan sosial yang perlu diamalkan di tempat awam.

"Kebanyakan pengguna kini sudah tahu apa yang perlu dibuat ketika ingin memasuki premis tumpuan ramai termasuk beratur dengan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

"Ramai yang bimbang sebenarnya ketika berada di tempat tumpuan ramai tidak terkecuali saya dan akan memastikan supaya keselamatan diri terjamin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata orang ramai kini perlu mengamalkan gaya hidup dengan norma baharu.

"Cuba elakkan diri daripada ke tempat yang ramai, tempat tertutup dan perhubungan jarak dekat namun jika ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan termasuk membeli barang atau bekerja, sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

"Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk mencuci tangan dengan kerap serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan," katanya.

Vidyananthan berkata, sebanyak 2,218 premis di negeri ini sudah diperiksa dengan 26 notis penutupan dikeluarkan terhadap premis ingkar berikutan kegagalan mereka mematuhi SOP ditetapkan.

"Tindakan tegas diambil di bawah Seksyen 18(1)(f) , Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap premis yang disyaki boleh menyebabkan penularan Covid-19 kerana tidak mengamalkan langkah kawalan dan pencegahan seperti penjarakan sosial dan pemantauan saringan kesihatan di pintu masuk premis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 8:42pm
    d