mutakhir

Usah tangisi kejatuhan kerajaan PH Kedah

Oleh Nor Farhani Che Ad

KEJATUHAN kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah tidak perlu ditangisi selepas gabungan parti itu mendapat sokongan rakyat melalui proses yang sah.

Ahli Parlimen Merbok yang juga Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Nor Azrina Surip berkata, perbuatan lompat parti seolah menjadi sesuatu yang diterima dan menjadi perkara biasa dalam politik negara ketika ini.

Katanya, negara masih jauh dengan kematangan politik yang membawa makna sebenar untuk menyusun atur kehidupan rakyat yang sejahtera.

"Istilah perjuangan dan pengkhianatan ada kalanya makin kabur dan pudar pertembungannya kerana saling mendasari antara satu sama lain.

"Kerajaan yang baik sememangnya memerlukan pembangkang yang baik untuk terus melaksanakan proses semak dan imbang.

"Apapun yang terjadi, lebih-lebih lagi dalam situasi Covid-19 ini, kita mesti terus fokus membantu rakyat kembali bangkit membina kehidupan yang terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Adun, termasuk daripada Bersatu.

Berikutan itu, komposisi Dun Kedah menyaksikan perubahan apabila Pas kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), Amanah (empat), Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), Umno (dua) dan Bebas (dua).

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 10:16am
d