mutakhir

Mudahnya bayar zakat

Oleh Amir Abd Hamid

WALAUPUN pergerakan agak terbatas sepanjang musim wabak Covid-19 namun tiada alasan untuk setiap individu beragama Islam mengabaikan kewajipan membayar zakat fitrah.

Sudah ada aplikasi yang disediakan untuk masyarakat Islam membayar zakat fitrah secara dalam talian tanpa perlu bersemuka dan segalanya semudah klik di hujung jari.

Alternatif lain, terdapat beberapa masjid yang menyediakan kaunter pandu lalu untuk pembayaran zakat dengan cepat dan cekap tanpa si pembayar zakat keluar dari kenderaan.

Wartawan turut mengambil kesempatan mencuba inovasi disediakan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya yang sudah memperkenalkan kaunter pandu lalu zakat fitrah sejak 2012.

Sesuai saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi semasa Covid-19, pembayaran zakat itu walaupun masih dapat melihat fizikal antara pembayar zakat dan amil, namun ia mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Penjarakan sosial diamalkan, tidak bersalaman, pemakaian pelitup muka dan urusan akad zakat fitrah juga selesai tidak sampai seminit.

Imam MTMZA Hamdan Muhamad berkata, pembayaran zakat fitrah secara pandu lalu itu mudah dan cepat sekali gus sesuai dengan situasi semasa.

"Lapan amil bertugas secara penggiliran tiga jam di kaunter itu yang beroperasi antara jam 9 pagi hingga 7 malam," katanya.

Menurutnya, petugas yang tidak sihat tidak dibenarkan untuk bertugas sebagai langkah keselamatan khususnya sewaktu wabak Covid-19 belum berakhir.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 1:29pm
d