mutakhir

14 lelaki kantoi leka sabung ayam

Oleh Nor Amalina Alias

SERAMAI 14 lelaki termasuk seorang graduan institusi pengajian tinggi ditahan ketika leka bersabung ayam di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, semalam.

Serbuan dilakukan pada 5.30 petang dalam operasi Ops Dadu Judi oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, mereka yang ditahan berusia 26 hingga 57 tahun ketika bersabung ayam dengan nilai taruhan RM500 ke RM2,000.

"Kita turut merampas lapan ekor ayam laga, satu beg pinggang berzip warna hitam, wang tunai RM3,435 serta empat sarung taji ayam berwarna merah dan biru.

"Turut dirampas ialah sebuah jam penggera digital, sebilah pisau kecil bersarung getah dan alatan lain untuk menyabung ayam.

"Hasil soal siasat awal, mereka mengaku mula berjudi sabung ayam sejak sebulan lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek turut bertindak melawan dalam percubaan melarikan diri selain membuat ugutan mencederakan anggota polis.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methampetamine dan mempunyai rekod jenayah.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 (1)(g) Akta Binatang 1953.

"Siasatan juga dibuat mengikut Perkara 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit selain Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990," katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 1:51pm
d