mutakhir

Tommy Thomas secara prinsip setuju DNAA Riza Aziz

Oleh BERNAMA

"SAYA dinasihatkan bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bersetuju kepada cadangan yang secara prinsip penyelesaian terhadap pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Riza Shahriz Abdul Aziz," kata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Idrus berkata, keputusan pendakwa memohon kepada Mahkamah Sesyen pada 14 Mei lalu bagi melepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi lima pertuduhan terhadap Riza dibuat selepas perbincangan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan peguam Riza sendiri.

"Saya dinasihati bahawa Tommy, selepas meneliti surat representasi, melalui satu minit bertarikh 19 November 2019 memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram. Turut dinyatakan bahawa berdasarkan cadangan beliau bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi itu.

"Saya selanjutnya dinasihatkan bahawa Datuk Seri Gopal Sri Ram, selepas berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, mencadangkan supaya cadangan yang dinyatakan di dalam representasi itu diterima oleh SPRM.

"Saya juga dinasihatkan bahawa Tommy secara prinsip bersetuju dengan cadangan itu. Ini membuka jalan kepada rundingan lanjut dan perancangan mekanisma yang perlu diambil dan diadakan," katanya.

Beliau berkata, pada 11 Mac 2020, pihak peguam menghantar satu lagi surat representasi mengukuhkan cadangan yang dikemukakan sebelum ini dan memberi akujanji bahawa, jika Riza Aziz gagal untuk mematuhi mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan, kelima-lima pertuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atasnya dikekalkan.

Idrus berkata, perkara itu dibentangkan kepadanya selepas beliau dimaklumkan mengenai pendirian terdahulu oleh Thomas.

"Selepas ditaklimatkan oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan bekas Peguam Negara sebagaimana yang ditaklimatkan kepada saya, dan bersetuju untuk menerima tawaran Riza Aziz tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat," katanya.

Beliau berkata, sejak pemfailan pertuduhan, Riza Aziz mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan Peguam Negara melalui peguamnya daripada Tetuan Scivetti & Associates.

"Saya difahamkan bahawa kronologi surat perhubungan antara Jabatan Peguam Negara, SPRM dan peguam Riza Aziz, sebelum pelantikan saya sebagai Peguam Negara, adalah seperti berikut. Pada 18 November 2019, peguam menghantar surat representasi ke Jabatan Peguam Negara memohon semua pertuduhan terhadap Riza Aziz di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikaji semula.

"Surat representasi ini, antara lain, mencadangkan Riza Aziz menyerahkan haknya ke atas tiga hartanah yang disita oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan dia (Riza Aziz) perlu memberi kerjasama untuk mengembalikan harta tersebut atau nilainya kepada Kerajaan Malaysia," katanya.

Idrus berkata, hartanah itu adalah seperti berikut iaitu banglo di Beverly Hills, California; pangsapuri di New York; dan rumah di London, United Kingdom.

"Selain itu Riza Aziz bersetuju wang yang dirampas daripadanya yang menjadi hal perkara dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia. Riza Aziz juga perlu membayar sejumlah kompaun selaras dengan peruntukan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.

Idrus selanjutnya berkata, pada 16 April 2020, SPRM membalas surat peguam yang secara asasnya menyatakan bahawa pendakwa raya bersedia memohon perintah DNAA ke atas kelima-lima pertuduhan itu.

"Ia tertakluk kepada Riza Aziz mengambil langkah untuk memastikan semua wang dan harta yang disita dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia dan seterusnya membayar kompaun selaras dengan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti-Pembiayaan Keganasan 2001.

"Pada 21 April 2020, SPRM menulis kepada pihak peguam mengarahkan Riza Aziz turut melepaskan hak, hak milik dan kepentingannya ke atas satu lagi aset yang dikenali sebagai "Metropolis Poster" iaitu sebuah poster tiga-helai berwarna litograf berbingkai ciptaan seorang pelukis dari Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm untuk filem senyap bertajuk "Metropolis" yang diterbitkan pada tahun 1927," katanya.

Beliau berkata, pada 13 Mei 2020, SPRM sekali lagi mengarahkan Riza Aziz untuk memindahkan sejumlah USD14,087,072.76 yang berada di dalam akaun di Huntington National Bank di Amerika Syarikat kepada Kerajaan Malaysia.

"Dengan perkiraan ini, Kerajaan Malaysia dijangka akan menerima kembali sejumlah kira-kira USD108 juta (tertakluk kepada harga jualan sebenar aset-aset dan penolakan apa-apa kos) untuk dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

"Ini adalah tambahan kepada USD57,036,688.68 yang telah dilucuthak sebelum ini dalam bulan April 2019 daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang 5 dimiliki bersama oleh Riza Aziz, yang mana dana itu dapat dikesan berkaitan dengan 1MDB," katanya.

Idrus berkata, perkiraan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan dalam mendapatkan kembali aset berkaitan dengan 1MDB.

"Saya dimaklumkan bahawa rundingan dengan beberapa pihak berlaku sejak tahun lepas terutama berkaitan dengan aset yang berada di luar negara, sudah dengan jayanya mendapatkan kembali serta pemulangan wang yang akan meringankan beban kerajaan dalam membayar hutang-hutang 1MDB.

"Rundingan itu adalah rumit, memerlukan kerjasama erat dengan pihak berkuasa di luar negara, dan masih berterusan," katanya.

Idrus membuat penjelasan itu selepas satu siri kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM dan Thomas terhadap perkara itu.

Sri Ram, ketika dihubungi Bernama untuk mengulas perkara berkenaan berkata: "Apabila AG membuat kenyataan itulah kesudahan perkara berkenaan."

SPRM dalam kenyataannya pada 14 Mei lalu antara lain menyatakan bahawa persetujuan antara pendakwaan dan tertuduh menerusi representasi di mahkamah adalah satu keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh Tommy.

Tommy yang memberikan maklum balas segera terhadap kenyataan SPRM itu, berkata beliau tidak bertanggungjawab dalam isu Riza yang diberi DNAA dan mengeluarkan kenyataan semalam untuk mengulangi pendiriannya berhubung perkara itu.

Susulan daripada reaksi awal beliau (Thomas), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa SPRM berdiri teguh dengan kenyataannya berhubung perkara itu (bahawa Thomas bersetuju Riza diberi DNAA).

Thomas, dalam kenyataannya semalam, sekali lagi menafikan bahawa beliau membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Riza tetapi menjelaskan bahawa satu-satunya keputusan yang dibuatnya dalam kes itu selain mendakwa Riza ialah melantik Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan dijangka terima semula aset daripada Riza Aziz
  • SPRM berbohong - Tommy Thomas
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 3:00pm
    d