mutakhir

16 mangsa banjir ditempatkan di PPS

Oleh Rosman Shamsudin

SERAMAI 16 mangsa banjir kilat di Kampung Kuala Slim, Muallim dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim pada 1.30 tengah hari, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Muallim, Kapt (PA) Shahrizal Husin berkata, hujan lebat sejak petang semalam disusuli hujan renyai sehingga awal pagi hari ini menyebabkan paras air Sungai Bernam meningkat secara mendadak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan kampung berhampiran menyebabkan rumah penduduk dinaiki air.

"Enam rumah dinaiki air dalam banjir kilat itu dan setakat ini hanya tiga keluarga yang dipindahkan ke PPS.

"Pihak APM bersama Rela dan polis turut membantu memindahkan dan menyelamatkan barangan di rumah penduduk yang dimasuki air ke tempat lebih selamat," katanya.

Menurutnya, pihak APM bersama Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Muallim akan memantau perkembangan dari semasa ke semasa terutama kawasan yang terbabit dalam kejadian banjir kilat di daerah ini.

Katanya, penduduk perlu peka dengan keadaan cuaca dan perubahan di sekeliling tempat tinggal terutama hujan lebat sebagai langkah awal mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 4:42pm
d