mutakhir

Dugaan menjelang Syawal [METROTV]

Oleh Juwan Riduan

LIMA blok rumah kongsi membabitkan 80 pintu musnah dalam kebakaran berhampiran tapak baru Balai Polis Inanam dan kuarters di pekan Inanam, Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Kejadian pada 12.50 tengah malam itu, menyebabkan lebih 250 pekerja daripada 75 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun kebanyakan mangsa kehilangan harta benda termasuk kelengkapan baju dan kuih raya.

Penyelia tapak pembinaan berkenaan, Rozikahan Amir, 33, berkata, kejadian itu disedari isteri yang terjaga sebelum mengejutnya.

"Saya cuba memadam api itu namun gagal kerana api semakin marak menyebabkan saya berlari keluar bersama isteri dan empat anak kami.

"Saya tak sempat berbuat apa-apa kerana apa yang penting nyawa isteri dan empat anak saya berusia 12 dan lapan tahun, perlu diselamatkan.

"Turut musnah dokumen dan kelengkapan baju raya anak-anak serta kuih raya. Hasrat untuk beraya bersama pekerja di sini, tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Pegawai Bomba Kanan II, Rozam Shah Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.58 tengah malam dan tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.

Katanya, operasi bermula sejurus sepasukan 14 anggota termasuk dua pegawai dibantu BBP Kota Kinabalu, tiba di lokasi bersama empat jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Setibanya di lokasi didapati api sedang marak dan lima blok rumah kongsi pekerja musnah terbakar. Namun kecekapan anggota bomba berjaya menyelamatkan 25 lagi blok daripada musnah terbakar.

"Pasukan bomba juga berjaya mengawal api daripada terus merebak ke rumah penduduk kampung yang terletak kira-kira lima meter," katanya.

Rozam Shah berkata, api dikawal pada 1.33 pagi dan bomba mengambil masa 23 minit untuk mengawal keadaan.

Katanya, setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Difahamkan, buat masa kini semua mangsa kebakaran berlindung di kuarters tapak baru Balai Polis Inanam, yang masih dalam pembinaan.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 9:14am
d