mutakhir

Guna K9 kesan warga emas hilang

Oleh Safuri Kamarudin

POLIS akan menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) bagi mengesan warga emas yang hilang di dusun durian Kampung Carok Kangar, Kupang, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata pihaknya menghubungi unit pengesan anjing dari Sungai Petani untuk mengesan mangsa, Esah Ya'akob, 83, kerana kawasan berbukit dan luas dikelilingi kebun getah dan kelapa sawit.

Beliau berkata, walaupun usaha pencarian telah dilakukan anggota penyelamat namun kehilangan mangsa melebihi 24 jam dan memerlukan unit K9 supaya pencarian lebih berkesan.

"Saya menghubungi Unit K9 untuk membantu mengesan mangsa hilang selepas tempoh 24 jam mangsa belum ditemui.

"Kedudukan kawasan pencarian hutan dan berbukit, jadi kita meminta bantuan K9 untuk mengesan mangsa," katanya ketika meninjau tempat mangsa hilang, hari ini.

Esah dikhuatiri hilang selepas pergi ke dusun durian miliknya semalam dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 11:40am
d