mutakhir

Sabar ye dik, nanti banjir surut

Oleh Rosman Shamsudin

KANAK-KANAK lelaki kelihatan sedih bersama datuknya apabila melihat kawasan rumahnya ditenggelami air akibat kejadian banjir kilat di Kampung Kuala Slim, Slim River sejak semalam.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, Aulat Mikail Mohd Arif, 8, dan datuknya, Mohd Zaini Sulaiman, 64, pulang seketika ke rumah hari ini selepas dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sekolah terbabit.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh masuk ke kawasan rumah yang dipenuhi air berikutan berlaku fenomena air termenung apabila paras air Sungai Bernam masih tinggi.

Mohd Zaini berkata, cucunya mengajak dia pulang ke rumah kerana ibu kanak-kanak itu berada di kediaman mereka untuk memindahkan barangan di dapur ke tingkat atas.

Katanya, kejadian banjir kilat itu menyebabkan semua perkakasan dapur dan barangan keperluan harian di dapur rosak akibat ditenggelami air.

"Apabila air masuk ke dalam rumah, semalam dan memenuhi ruang dapur, kami bernasib baik kerana bahagian ibu rumah dibina lebih tinggi maka sempat berteduh sementara pindah ke PPS.

"Cucu saya nampak sedih saja hari ini, sebab dia ingatkan sudah boleh pulang ke rumah, namun air di kawasan rumah belum surut," katanya.

Menurutnya, dia hanya mampu Aulat Mikail supaya bersabar kerana air akan surut tidak lama lagi jika tidak berlaku hujan.

Katanya, banjir kilat itu menduga kesabaran ketika umat Islam berpuasa dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), selain akan menyambut 1 Syawal tidak lama lagi.

"Banjir paling teruk di kampung ini berlaku pada 2014 lalu, dan saya bersyukur kerana tidak semua barang dalam rumah rosak akibat banjir kilat kali ini," katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 2:12pm
d