mutakhir

Bayar RM5, muka cantik dah...

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

"TAK sangka kulit yang penuh jerawat disebabkan produk kecantikan tempatan, boleh licin dengan hanya bayar RM5 saja di hospital kerajaan," kata Munirah Omar, 25.

Munirah berkongsi tips itu di laman Twitter miliknya dan mendapat maklum balas positif netizen yang rata-rata tidak mengetahui ada cara lain bagi merawat kulit bermasalah dengan kos yang lebih murah.

Dia yang juga penuntut jurusan farmasi berkata, membaca kandungan produk terlebih dahulu penting sebelum membelinya terutama produk kecantikan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

"Selepas dapat tahu produk tempatan berkenaan ada merkuri, saya terus berhenti pakai kerana takut menghidap penyakit kronik.

"Selepas itu, muka saya kerap tumbuh jerawat sehingga ada nanah dan berdarah.

"Jerawat saya terlalu banyak dan timbul sampaikan muka saya jadi bengkak membuatkan saya malu pergi ke kuliah," katanya.

Munirah berkata, kos rawatan yang mahal di klinik swasta menyebabkan dia memilih untuk pergi ke hospital kerajaan di Serdang.

"Kos rawatan di klinik swasta untuk satu temu janji mencecah RM300 tidak termasuk ubat-ubatan.

"Saya tidak mampu dan minta doktor di klinik buat surat rujukan untuk membolehkan saya menyambung rawatan bersama pakar dermatologi kerajaan.

"Selepas dua minggu menunggu, saya dibenarkan meneruskan rawatan di sana dan hanya bayar RM5 setiap kali temu janji manakala ubat-ubatan adalah percuma.

"Saya jalani rawatan pemeriksaan kulit setiap tiga bulan sekali dan pengambilan pil Accutane bagi menghilangkan jerawat dan parut di muka," katanya.

Munirah menjalani rawatan pada 2018 dan mengambil masa setahun setengah untuk pulih.

Bercerita lanjut mengenai kesan sampingan pil berkenaan, Munirah berkata, tidak perlu khuatir jika pesakit mendapat rawatan daripada pakar yang bertauliah.

"Sebelum rawatan bermula, pesakit perlu tandatangan surat yang mengandungi terma dan syarat sepanjang rawatan.

"Salah satu syaratnya tidak boleh mengandung dalam tempoh rawatan dan sepanjang enam bulan hingga dua tahun selepas berhenti mengambil pil Accutane bagi mengelak kecacatan pada kelahiran," katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 2:17pm
d