mutakhir

'Saya beritahu ibu sakit, tidur...'

Oleh Hassan Omar

"SETIAP kali Nuraina Sofiah Abdul Rahim bertanya di mana ibunya, saya jawab ibu sakit dan terpaksa tidur.

"Nuraina sudah biasa ketiadaan ibu kerana sebelum arwah ibunya meninggal dunia, arwah selalu tiada di rumah kerana ditahan di wad selepas terjatuh ketika baharu hamil," kata pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kamarulzaman Omar, 59.

Beliau memberikan jawapan itu setiap kali cucunya, Nuraina, 2, yang baharu kehilangan ibu kandung dan bapa tiri pada Khamis lalu, bertanya mengenai Allahyarham Nur Ain, 25, iaitu anak keempat Kamarulzaman.

Menurutnya, sejak pemergian Nur Ain dan suami, Allahyarham Mohd Hairawi Mat Rezam, 36, dalam kemalangan Khamis lalu, Nuraina, iaitu anak tunggal arwah Nur Ain bersama suami sebelum itu, ada beberapa kali bertanya mengenai ibunya kerana merinduinya.

"Kehilangan arwah Nur Ain tetap dirasai anak tunggalnya itu walaupun ketika hayatnya, arwah sering ditahan di wad Hospital Tampin untuk menjalani rawatan tulang punggung yang cedera selepas terjatuh ketika baharu sebulan hamil anak kedua (yang pertama selepas berkahwin dengan arwah Mohd Hairawi pada Ogos tahun lalu).

"Arwah Nur Ain sering ditahan di wad berkenaan purata seminggu dalam sebulan untuk menjalani rawatan.

"Sepanjang arwah ditahan dalam wad, Nuraina tinggal dengan saya dan isteri, Rusiah Omar, 55, dan setiap kali saya beritahu ibu sakit, dia tidak merengek atau menangis rindu terhadap ibunya," katanya ketika ditemui di Taman Kuala Ina, Pulau Sebang, Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata, ketika menguruskan jenazah arwah Nur Ain di Hospital Tampin, Khamis lalu, beliau sempat menunjukkan kepada Nuraina jenazah arwah ibunya dengan menyatakan ibunya sakit dan perlu tidur.

Apabila Nuraina bertanya mengenai arwah bapa tirinya, Kamarulzaman terpaksa memberikan jawapan seperti sering diberikan semasa hayat arwah masih ada, iaitu bapanya bekerja dan belum pulang.

Sehubungan itu, Kamarulzaman beriltizam untuk menjaga Nuraina dengan baik dan memberikannya didikan agama serta ilmu dunia bagi memastikan cucunya menjadi insan kamil apabila dewasa kelak.

Arwah Nur Ain dan kandungannya berusia tujuh bulan serta suami meninggal dunia selepas motosikal mereka dilanggar kereta Perodua MyVi dipandu lelaki berusia 34 tahun di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, pada 7.40 pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dilaporkan berkata, ketika kejadian, pemandu kereta perjalanan dari arah Gadek ke Pulau Sebang, manakala mangsa dalam perjalanan ke Hospital Melaka.

Pemandu terbabit dipercayai hilang kawalan hingga menyebabkan kenderaannya berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

Berita berkaitan

'Pilunya...'

'Arwah dah siapkan barut, pakaian bayi'

'Pemandu sebabkan kematian suami isteri direman'

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 2:29pm
d