mutakhir

Kelindan maut, treler simen terbalik

Oleh Mohd Rafi Mamat

KELINDAN maut sementara pemandu cedera selepas treler muatan simen dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, semalam.

Nahas berlaku pada 11.30 malam dan V Kumaradas, 39, dari Ipoh, Perak disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu treler, T Mahendran, 39, cedera di mata dan kepala dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal mendapati treler itu dari Ipoh ke Kuantan untuk menghantar simen.

Katanya, ketika tiba di lokasi, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik di atas konkrit penghadang jalan.

"Akibat kejadian kelindannya maut di lokasi, manakala pemandu cedera. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 2:52pm
d