mutakhir

Tindakan Muhyiddin menyedihkan pemimpin Bersatu

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Zanariah Abd Mutalib

SEGALA keputusan diambil Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini tidak melalui parti itu.

Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu juga tidak pernah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, tindakan Muhyiddin yang kemudiannya membentuk kerajaan pada Mac lalu, walaupun sebelum itu memberi tempoh seminggu kepadanya membuat keputusan membabitkan sama ada parti itu keluar dari PH.

"Seperti yang kita semua ketahui dalam rakaman dibuat, Muhyiddin beri saya satu minggu untuk buat keputusan tetapi sebelum pun genap satu minggu dia mengambil tindakan seolah-olah tidak berada dalam PH lagi. Ini bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Dia membuat keputusan tanpa Majlis MPT Bersatu. Dia isytiharkan Bersatu sebahagian daripada parti Perikatan Nasional (PN).

"Dia isytihar berada dalam PN. Nampak seolah-olah parti ini sudah diambil separuh oleh Muhyiddin tanpa merujuk kepada badan yang berkuasa dalam Bersatu. Inilah masalah yang dihadapi oleh Bersatu," katanya ketika sidang media Bersatu, PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, tindakan Muhyiddin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga membelakangi Bersatu kerana ia tidak mendapat keizinan daripada parti.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin itu menyedihkan kepemimpinan Bersatu kerana awal penubuhan parti itu adalah untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.

"Apabila kita berjuang dan mendapat kejayaan bersama rakan (dalam Pakatan Harapan) Muhyiddin membelakangkan dasar dan perjuangan parti dan kini bekerjasama dengan orang yang dijatuhkan sehingga ia kini menjadi kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada Bersatu akan mengambil tindakan terhadap Muhyiddin berikutan tindakannya itu, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada kepada parti untuk menentukannya termasuk jenis tindakan yang akan diambil.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 4:24pm
d