mutakhir

30,002 pil kuda bawah perdu pokok pisang [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

POLIS menemui 30,002 biji pil kuda bernilai RM458,167.50 yang disorokkan dalam plastik hitam di bawah perdu pokok pisang, susulan penahanan bekas banduan di Kampung Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, suspek berusia 47 tahun itu diberkas di tepi sebuah rumah pada 9 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

"Berlaku sedikit pergelutan ketika menahannya dan pemeriksaan pada tubuh menemui satu uncang hitam dalam seluar dalamnya yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 53.35 gram, selain dua pil kuda dan sembilan pil dadah jenis Nimetazipam.

"Soal siasat dilakukan dan suspek menunjukkan lokasi 30,002 pil kuda ditanam di bawah perdu pokok pisang di sebuah rumah kosong di Kampung Kedemit, Tumpat pada 12.30 tengah malam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, semua dadah itu dibungkus dalam lima bungkusan kertas yang setiap satu berisi 15 bungkusan kertas putih lebih kecil yang berikat getah.

Abdullah berkata, suspek juga mengaku semua dadah itu miliknya dan memperoleh bekalan daripada pembekal di negara jiran untuk dijual di Tumpat dan Kota Bharu.

"Suspek juga bebas daripada hukuman penjara setahun lalu dan dia mempunyai tujuh rekod lampau berkait dadah. Ujian saringan air kencing mendapati dia positif Methamphetamine.

"Dia kini direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang hukuman mati mandatori," katanya yang memberitahu polis turut menyita Honda Civic dan Suzuki Swift serta motosikal jenis Honda Heart Beat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan anggaran nilai RM64,000 selain wang tunai berjumlah RM4,000.

Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 5:33pm
d