mutakhir

'Terbang' RM33,000

Oleh BERNAMA

SEORANG peniaga di Rompin membuat laporan polis mendakwa kehilangan wang simpanan berjumlah RM33,000 selepas mengisi maklumat perbankan di aplikasi mudah alih kononnya milik Bank Negara Malaysia (BNM) seperti diarahkan 'pegawai polis' berpangkat Datuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, lelaki berusia 37 tahun itu mendakwa dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lalu, berhubung siasatan cukai tertunggak.

Suspek lelaki itu dikatakan memberitahu mangsa bahawa namanya didaftarkan atas penubuhan sebuah syarikat yang perlu menjelaskan cukai berjumlah RM50,000 dan kes tersebut kononnya sudah sampai ke peringkat atasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Mangsa mendakwa diarahkan untuk bercakap dengan kakitangan di IPK itu dan semakan terhadap nombor kad pengenalan mangsa dikatakan berkait dengan kes dadah menyebabkan dia diminta berurusan dengan pegawai atasan berpangkat Datuk.

"Datuk itu dikatakan memberi pilihan untuk mangsa membenarkan semakan terhadap akaun bank miliknya atau dikenakan waran tangkap yang mangsa. Akibat ketakutan, mangsa menyerahkan butiran perbankan miliknya kepada suspek," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa 'Datuk' itu memberi alamat laman web MyBNM yang dikatakan milik BNM dan mangsa diarahkan untuk mengisi semua maklumat peribadi perbankan dalam talian dan akaun perniagaan miliknya, kononnya bagi tujuan siasatan.

Mangsa mendakwa 'Datuk' itu juga memintanya untuk menunggu hasil siasatan terhadap tiga akaun bank milik mangsa selain diarahkan untuk melaporkan diri menerusi pesanan WhatsApp di nombor yang diberikan setiap tiga jam.

Bagaimanapun, mangsa mula berasa diperdayakan apabila mendapati terdapat pemindahan wang dilakukan tanpa pengetahuannya dan 'Datuk' itu gagal memberikan penjelasan apabila ditanya menyebabkan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 8:50am
d