mutakhir

Kekal harga lauk ayam

Oleh Zuliaty Zulkiffli

"WALAUPUN harga ayam naik, tapi saya masih kekalkan harga RM5 seketul untuk lauk ayam berempah yang dijual di sini setiap hari kerana bimbang pelanggan lari," kata Mohd Farid Mohd Nayan, 32.

Mohd Farid yang juga pengusaha Nasi Kandar Melayu Fareed berkata, dia yang sudah dua tahun berniaga tidak takut menanggung rugi namun biarlah pelanggannya dapat menikmati nasi kandar dengan harga biasa.

Katanya, dia membeli ayam mentah seekor pada harga RM8 hingga RM9 sekilogram berbanding harga biasa sebelum ini RM5 atau RM6 sekilogram.

"Saya tak pernah lagi terfikir nak naik harga sebab kesian tengok pelanggan yang datang terutama yang ada keluarga ramai.

"Kalau saya naik harga untuk fikir keuntungan mungkin pelanggan akan lari dan perniagaan saya mungkin jatuh sikit.

"Saya berharap harga ayam mentah akan turun ke paras biasa secepat mungkin," katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Pasu, Jitra, semalam.

Menurut Mohd Farid, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia berniaga secara dalam talian selain melakukan penghantaran dari rumah ke rumah.

Katanya, nasi kandar yang menggunakan resepi arwah ibunya itu memang terkenal dengan lauk ayam berempah malah dia masih mengekalkan saiz ayam seperti dulu.

"Saya tak nak tipu pelanggan dengan jual ayam saiz kecil dengan alasan harga ayam mahal malah ramuannya tetap sama seperti dulu," katanya.

Katanya, dia turut dibantu dua pekerja dan isterinya berniaga setiap hari di gerai itu sepanjang bulan puasa.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 11:42am
d