mutakhir

Duit raya atas talian antara garis panduan Aidilfitri

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN negeri hari ini mengeluarkan garis panduan sambutan Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang antara lain tidak membenarkan umat Islam berziarah dan berkumpul.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, amalan tradisi yang sudah menjadi amalan selama ini perlu dilaksanakan secara lebih kreatif bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Katanya, ia termasuk penggunaan teknologi maklumat dan kemudahan sedia ada.

"Program marhaban dari rumah ke rumah perlu diganti dengan takbir raya bersama keluarga di rumah masing-masing.

"Program ziarah pusara tidak dibenarkan dan diganti dengan bacaan surah Yasin dan tahlil selepas solat sunat Aidilfitri dan khutbah raya.

"Program rumah terbuka, ziarah menziarahi dan bermaafan sesama saudara mara, sahabat handai dan masyarakat diganti dengan menggunakan alat telekomunikasi dan media sosial, " katanya dalam kenyataan, hari in.

Mengulas lanjut garis panduan Aidilfitri di negeri itu, Tosrin berkata, ia turut menggariskan pemberian duit raya yang selalunya dilakukan menerusi amalan ziarah menziarahi digantikan dengan perbankan online.

Katanya, amalan pemberian kuih raya dan juadah raya juga seharusnya diganti dengan penghantaran melalui pos atau perkhidmatan penghantaran.

Bagi sebarang bentuk pemberian atau sumbangan pula hendaklah mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 3:42pm
d