mutakhir

Lebih 20 lorong tikus buka ruang PATI lolos [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

TERDAPAT lebih daripada 20 lokasi panas atau lorong tikus di negeri ini yang dipercayai menjadi laluan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke negara ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, antara lokasi panas lorong tikus itu termasuklah di perairan Johor Barat yang bermula dari Kukup, Pontian hingga ke perairan Batu Pahat.

"Kawasan ini menjadi pilihan tekong kerana beberapa faktor antaranya ia diliputi hutan belukar atau paya bakau yang memudahkan PATI menyusup masuk atau keluar.

"Ia juga menjadi pilihan kerana kurangnya penempatan penduduk tempatan atau kampung di kawasan terbabit, tetapi faktor kampung ini bukanlah penyebab utama kerana ada sesetengah tempat, mereka pun gunakan kawasan kampung untuk naik (keluar atau mendarat).

"Faktor lain yang turut menyebabkan kawasan ini 'popular' dan digemari ialah kerana kedudukan sempadan perairan negara yang berjarak hanya kira-kira 15 batu nautika dengan Pulau Karimun dan Rupat, Indonesia.

"Bermakna jika kita hendak sampai ke kedua-dua pulau berkenaan, ia cuma mengambil masa antara 45 minit hingga sejam menggunakan bot laju)," katanya selepas meninjau Ops Pintas Bersepadu Selatan, di perairan Johor Barat dengan Kapal KM Nipah, dekat Iskandar Puteri, hari ini.

Sanifah berkata, mengambil kira faktor berkenaan Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi dan rondaan di perairan Johor terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini bagi menyekat kemasukan PATI ke dalam negara.

"Langkah ini perlu dibuat sebagai membendung penularan wabak Covid-19 kerana kita jangkakan waktu puncak untuk PATI kembali ke Malaysia adalah seminggu selepas raya untuk bekerja di pelbagai sektor.

"Jadi, kita akan cuba memaksimumkan penggunaan aset sedia ada selain menugaskan kira-kira 500 anggota secara bergilir-gilir di keseluruhan kawasan perairan seluas 23,428 km persegi," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 4:40pm
d