mutakhir

Kebaikan untuk rakyat, ekonomi

Oleh Siti Rohana Idris

KELANTAN menyambut baik kelulusan skim kereta api untuk Seksyen A Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan akan bermula tidak lama lagi.

Langkah itu memberi laluan kepada kerja pembinaan di penjajaran semula sepanjang 210.4 kilometer (km) dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, pembinaan itu diharapkan dapat merealisasikan harapan rakyat negeri ini dalam usaha meningkatkan sektor ekonomi.

"Tiada sebarang perkara baharu yang diubah dalam projek itu cuma kami ada memohon satu stesen nanti sama ada di Tunjong atau Pasir Puteh disediakan untuk perkhidmatan kargo.

"Memang berasa bersyukur kerana benda ni (projek ECRL) adalah kebaikan untuk rakyat terutama untuk pertumbuhan ekonomi.

"ECRL adalah antara pemangkin untuk kemajuan negeri yang mana Kelantan sendiri sudah banyak infrastruktur yang disediakan," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di Bilik Gerakan Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Hari ini dilaporkan pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek dan aset ECRL sudah menerima surat daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertarikh 14 Mei lalu menyatakan cadangan penjajaran semula Seksyen A Projek ECRL diluluskan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong baru-baru ini.

Kelulusan itu termasuklah, antaranya laluan penjajaran akhir, lokasi stesen penumpang/kargo dan jumlah lot di bawah pengambilalihan tanah untuk laluan Kota Bharu-Dungun.

Ahmad berkata, pembinaan itu adalah peluang untuk rakyat yang mana perkhidmatan itu nanti dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk sektor perniagaan.

"Kita sedia maklum bahawa rakyat Kelantan rajin bekerja dan berusaha dan bila ada pekhidmatan ini (ECRL) ini nanti akan jadi lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 4:51pm
d