mutakhir

Hukuman mati dua lelaki kekal

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Persekutuan, Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap dua lelaki kerana membunuh seorang penganggur di Butterworth, Pulau Pinang, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim menolak rayuan yang dikemukakan G. Theeneesh, 26, dan M.Thurkeswaran, 28.

Hakim Ong dalam keputusannya berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atas kedua-dua lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada merit dalam rayuan itu.

Theeneesh, 26, yang sebelum ini bekerja di kedai logam dan Thurkeswaran, seorang juruelektrik, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 17 Julai 2017 kerana membunuh rakan mereka B Muniandy, 37, di Pantai Bersih Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang antara 10 malam pada 17 Mei 2014 dan 1 pagi, 18 Mei 2014.

Rayuan mereka ditolak di Mahkamah Rayuan pada 8 Mei tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, seorang saksi melihat Theeneesh memukul si mati dengan sebatang kayu sementara Thurkeswaran memukul mangsa dengan tangannya.

Ahli patologi yang melakukan bedah siasat, mengesahkan kematiannya disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul.

Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa mewakili pihak pendakwaan manakala Theenesh diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan peguam Dev Kumaraendran mewakili Thurkeswaran.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 6:02pm
d