mutakhir

PPM tingkat operasi sepanjang Aidilfitri

Oleh Juwan Riduan

SERAMAI 482 anggota dan pegawai Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak di seluruh Sabah melalui Op Benteng Covid-19 sepanjang Aidilfitri.

Pada masa sama, 42 kapal dan bot turut diatur gerak bagi melancarkan operasi pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang di perairan Sabah.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi berkenaan akan turut disertai oleh agensi keselamatan lain bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) seterusnya mencegah penularan Covid-19.

"Operasi akan ditingkatkan di sepanjang perairan sebelum dan selepas Aidilfitri. Op Benteng bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dari negara jiran.

"Jika di Sabah, mengekang kemasukan secara haram warga Filipina dan Indonesia," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah 4 Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Majlis itu menyaksikan Asisten Komisioner Ahmad Ariffin dilantik sebagai Komander PPM Wilayah 4 Sabah bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Ahmad yang sebelum ini menjawat jawatan Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu pula menyerahkan jawatannya kepada Superintendan Gan Ping Sin.

Op Benteng Covid-19 yang dilancarkan 12 Mei lalu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mohd Yusoff berkata, bagi wilayah 4 Sabah, setakat ini PPM menggerakkan 22 bot ronda membabitkan 150 anggota dan pegawai.

Katanya, jumlah bot peronda dan keanggotaan akan ditingkatkan selepas Aidilfitri kerana ia adalah kemuncak warga asing cuba masuk ke Sabah secara haram.

"Kami akan ketatkan kawalan di laluan tikus. Kami bimbang mereka ini turut menjadi pembawa Covid-19," katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, sejak 18 Mac lalu, PPM menghasilkan keseluruhan 82 kes membabitkan pelbagai kesalahan termasuk Akta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Katanya, 81 individu sudah dituduh di mahkamah selain rampasan berjumlah RM10.68 juta sepanjang masa itu.

"Secara keseluruhan, sejak Januari hingga semalam, kami menghasilkan 470 kes dengan nilai rampasan dan kompaun RM12.98 juta.

"Kesalahan ini termasuk seludup rokok dan minuman keras," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 6:31pm
    d