mutakhir

Hanya beri nasihat, amaran [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

KERAJAAN masih belum memutuskan untuk menguatkuasakan peraturan kepada ibu bapa yang ingkar membawa anak ke tempat awam terutama pusat beli-belah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan hasil perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat ini memutuskan cuma memberi nasihat dan amaran.

"Pagi tadi kita ada mesyuarat MKN dan kita bincangkan perkara ini. Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bangkitkan perkara ini sama ada kita hendak masukkan dalam akta dan peraturan kita.

"Kalau kita masukkan maka tindakan kita ialah saman RM1,000 dan jika tidak boleh bayar akan bawa ke mahkamah.

"Jadi perbincangan (putuskan) tindakan kita (setakat ini) adalah polis beri nasihat dan amaran," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah atau tindakan kerajaan kepada ibu bapa yang ingkar membawa anak ke tempat awam.

Bagaimanapun, Noor Hisham masih tidak jemu memberi nasihat supaya rakyat Malaysia mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita harap rakyat Malaysia patuh arahan kita, jangan bawa anak-anak ke tempat awam dan hospital. Itulah nasihat kita kepada semua," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 6:52pm
d