mutakhir

Prosiding hina mahkamah terhadap Najib

Oleh BERNAMA

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas perdana menteri itu, berkaitan kenyataannya mengenai perbicaraan berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan ketua pendakwa Datuk Seri Gopal Sri Ram di awal perbicaraan hari ini, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa laporan berita yang diterbitkan Reuters pada 4 Mac lalu mengandungi petikan kenyataan Najib yang antara lain berkata, beliau menjangka persekitaran akan menjadi lebih kondusif untuk satu perbicaraan yang adil susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Ini dakwaan yang serius. Ia seolah-olah mahkamah yang mulia ini menampilkan suasana persekitaran yang buruk sebelum kerajaan bertukar. Saya terpanggil untuk membawa prosiding menghina terhadap yang tertuduh kerana ini adalah tuduhan yang serius," kata Sri Ram.

Beliau berkata pihak pendakwaan akan membuat permohonan rasmi berhubung perkara itu.

Manakala, ketua pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu bukan merujuk kepada mahkamah.

Beliau juga berkata tiada prosiding menghina dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan beberapa kenyataannya mengenai anak guamnya (Najib).

"Bekas perdana menteri (semasa pentadbiran kerajaan PH) kelihatan mengisytiharkan bahawa anak guam saya adalah 'penyangak', perompak, pencuri.

"Mungkin dengan pertukaran kerajaan, dengan ketiadaan Dr Mahathir, ia akan menjadi lebih kondusif kepada anak guam saya. Ia (kenyataan Najib) tidak merujuk kepada (mahkamah) yang mulia sama sekali," kata Muhammad Shafee.

Perbicaraan bersambung tengah hari ini dengan soal balas saksi yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berhadapan empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 8:47pm
d