mutakhir

Penghidap kanser jual arnab bayar PTPTN [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat, memelihara dan menjual arnab sejak dua tahun lalu demi kelangsungan hidup selain membayar hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Abdul Halim Mat Hassan, 26, pada mulanya hanya membela arnab sebagai terapi diri dan mengisi masa terluang, namun kini menjadikannya sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan itu berkata, disebabkan penyakit dihidapinya, dia sukar bekerja di luar rumah dan pergerakan terbatas.

"Arnab sajalah yang saya pelihara dan jual. Sehingga kini lebih 200 arnab terjual buat pada harga RM30 bagi dua ekor, bergantung saiz.

"Saya perlu berusaha mencari duit sendiri kerana ayah hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu, manakala ibu pula suri rumah dan adik-beradik yang lain bukan dalam kalangan orang senang.

"Lagipun saya perlu membayar hutang pelajaran daripada PTPTN berjumlah RM26,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Kiok, Machang.

Abdul Halim sebelum ini pernah dilaporkan media mengenai deritanya menghidap kanser itu sejak Oktober 2017 dan menjalani konvokesyen tamat pengajian di rumah.

Menurut anak ketujuh daripada 10 beradik itu, setahun dia menjalani 36 kali radioterapi dan tujuh kemoterapi, selain lehernya ditebuk untuk saluran pernafasan.

"Kini saya hanya berselera untuk makan bijirin selain nasi kosong yang dilenyek hancur bersama sayur lembut. Tiada lagi kenikmatan terhadap makanan lain.

"Saya juga berpantang bagi mengelak sel kanser aktif," katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Sebelum ini, dia pernah menangguhkan pengajian selama dua semester kerana masalah kesihatan dan menyimpan hasrat membantu orang tuannya sebagai tamat pengajian kerana dia anak pertama menjejakkan kaki ke menara gading.

Namun ketentuan Ilahi menyebabkan Abdul Halim reda dan menerima takdir itu dengan tabah.

Berita berkaitan

Konvokesyen di rumah

Kebas separuh muka lepas rawatan

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 10:31am
d