mutakhir

Boleh ikut 'FB live' masjid untuk solat

Oleh Ruwaida Md Zain

PENDUDUK Islam di Selangor boleh mengadakan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing, berpandukan takbir dan solat secara langsung yang disiarkan menerusi Facebook (FB) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya tidak membenarkan penduduk ke masjid dan surau untuk ibadat itu sebaliknya, hanya imam, bilal dan siak yang bertugas sahaja dibenarkan.

"Pegawai masjid dan surau yang bertugas itu terhad kepada tiga orang sahaja dan tertakluk kepada garis panduan sudah ditetapkan. Ahli kariah pula hendaklah melaksanakan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing bersama keluarga.

"Siaran takbir hari raya dan pelaksanaan solat ini boleh diikuti melalui FB Live MSSAAS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, umat Islam di Selangor turut digalak melaung takbir malam raya di rumah masing-masing selepas solat Isyak pada malam 30 Ramadan dan pada 1 Syawal.

Katanya, ketua keluarga boleh membaca khutbah khas Aidilfitri yang dimuat turun melalui portal e-masjid.jais.gov.my.

Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksana sehingga 9 Jun.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 10:55am
d