mutakhir

Cari air keluar gas [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG mekanik terperanjat apabila mendapati telaga tiub yang digali di hadapan rumahnya bukan mengeluarkan air sebaliknya gas.

Proses menggali telaga tiub di rumah Baharudin Mustapa, 50, di Kampung Lebai Abas, Beta Hulu, Kota Bharu dilakukan Isnin lalu dan mengeluarkan gas selepas dua hari kerja mencuci batang paip dilakukan.

Baharudin berkata, selepas melakukan pembersihan batang paip sedalam 22.8 meter itu, dia pelik apabila air bawah tanah tidak keluar.

"Pagi Jumaat lalu, sekali lagi saya cuba menghidupkan pam untuk sedut air dan tiba-tiba bunyi letupan daripada batang paip itu dan tidak lama kemudian saya perasan ada wap keluar bersama buih kecil di permukaan batang paip.

"Saya cuba menyalakan api menggunakan pemetik api dan tanpa disangka ia menyala," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Bukan sahaja mengeluarkan gas, kedengaran juga bunyi seakan menggelegak dari dalam batang paip terbabit yang dipercayai hasil campuran gas dengan air bawah tanah.

Baharudin berkata, telaga tiub itu digali disebabkan mereka sekeluarga mengalami masalah bekalan air sejak tiga tahun menetap di situ dan menumpang bekalan air jiran melalui tiub getah yang disambung.

Dia berkata, sebelum ini dia pun menggali perigi namun sumber air tidak boleh digunakan kerana terlampau keruh menyebabkan dia terpaksa menggunakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM1,600 yang diterima baru-baru ini untuk menjalankan kerja menggali telaga tiub.

Bagaimanapun, sumber air yang diharapkan tidak juga keluar sebaliknya digantikan dengan wap gas dan menurutnya lagi sejak kejadian itu berlaku, kediamannya tidak putus dikunjungi penduduk kampung yang ingin menyaksikan sendiri.

"Sejak lima malam lalu, ramai penduduk yang datang untuk melihat sendiri kejadian itu malah ada yang meminta kami membuat demonstrasi menggoreng telur.

"Sumber air memang kelihatan dalam batang paip itu namun tidak dapat dipam keluar dan mungkin ia disebabkan tekanan yang menyebabkan air gagal disedut.

"Setakat ini kami tidak melihat sebarang bahaya yang wujud malah gas itu juga tidak mengeluarkan bau cuma tidak pasti untuk jangka masa panjang adakah ia akan memberi kesan kepada sumber air sekitar," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 11:04am
d