mutakhir

Harga ayam standard turun

Oleh Hassan Omar

SEHARI selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi 11 barang kawalan sempena perayaan Aidilfitri, harga ayam standard mencatatkan penurunan sebanyak RM1, hari ini.

Jika semalam ayam standard iaitu ayam disembelih dan dibersihkan serta kaki, kepala, hati dan hempedal dijual peniaga di sekitar Masjid Tanah, Alor Gajah, pada harga RM8.50 sekilogram, hari ini ia turun kepada RM7.50.

Harga berkenaan sejajar harga maksimum ayam standard mengikut skim terbabit berkuat kuasa mulai hari ini hingga 3 Jun ini.

Tinjauan di Pasar Awam Masjid Tanah dan beberapa kedai memproses ayam di sekitar Masjid Tanah hari ini mendapati kebanyakan peniaga menetapkan harga ayam standard RM7.50 sekilogram berasaskan harga maksimum diumumkan kementerian itu.

Peniaga ayam di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah, Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 55, berkata harga berkenaan berasaskan harga ayam di ladang ditawarkan penternak.

"Hari ini, ayam dijual penternak pada harga lebih rendah berbanding semalam dan sudah tentulah kami jual runcit pada harga rendah RM7.50 sekilogram berbanding RM8.50 semalam.

"Kami bukan sengaja menaikkan harga ayam standard, sebaliknya kami jual runcit berasaskan harga ayam di ladang ditawarkan penternak dan jika harga yang ditawarkan itu tinggi, kami terpaksa jual tinggi dan begitu juga sebaliknya,"

katanya.

Peniaga ayam di Pasar Awam Masjid Tanah dikenali sebagai Amin berkata, peruncit tidak akan sesuka hati menaikkan harga ayam, sebaliknya ia harus berdasarkan harga ayam di ladang.

"Skim harga maksimum itu mampu mengurangkan kenaikan harga ayam berterusan, tetapi pelanggan tidak boleh menyalahkan peruncit jika harga melambung kerana harga dipengaruhi oleh faktor permintaan dan penawaran," katanya.

Sementara itu, harga daging hari ini tidak berubah berbanding semalam, iaitu RM34 sekilogram seperti ditetapkan SHMMP.

Peniaga daging di Pasar Awam Masjid Tanah, Roslan Mohamad, 52, berkata tiada sebab peruncit menaikkan harga daging kerana harga daging ditawarkan penternak lembu tidak naik.

"Jika penternak menaikkan harga daging, kami tidak ada pilihan selain terpaksa berbuat perkara sama, tetapi insya-Allah sehingga Aidilfitri kelak, harga akan kekal," katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 2:18pm
d