mutakhir

Spekulasi TYT baharu Melaka: PM jumpa Mohd Khalil

Oleh Amir Mamat

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan tertutup dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, di Istana Melaka, Bukit Beruang, Ayer Keroh, semalam.

Pertemuan sejam itu dipercayai tertumpu kepada perbincangan mengenai perjawatan disandang Mohd Khalil itu yang akan tamat pada 4 Jun ini.

Ketibaan Muhyiddin di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam disambut Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta beberapa pemimpin politik negeri.

Sumber memberitahu, spekulasi tersebar mengenai pengganti Mohd Khalil mendorong Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan berkenaan, selain berbincang mengenai beberapa perkara pembangunan serta politik semasa tanah air.

"Menerusi perbincangan itu, ada perkara menyentuh mengenai tempoh perkhidmatan Tun (Mohd Khalil) yang tamat pada 4 Jun ini.

"Tun tidak akan membuat sebarang rayuan atau permintaan supaya tempoh perkhidmatannya disambung semula, sebaliknya hanya menyerahkannya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Perdana Menteri.

"Jika ada rezeki disambung (perkhidmatan), Tun sedia menggalasnya, tetapi jika tidak disambung beliau reda dan tetap bersyukur serta sedia memberikan sokongan dan kerjasama kepada penggantinya kelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Sulaiman ketika dihubungi menerusi WhatsApp, hari ini memaklumkan beliau bersama Ab Rauf serta pemimpin negeri lain tidak menyertai pertemuan berkenaan, sebaliknya hanya menyambut ketibaan Muhyiddin di LTAM.

"Saya hanya tunggu beliau (Muhyiddin) di LTAM untuk menyambut dan hantar beliau pulang. Saya tak boleh ulas lanjut kerana tak menyertai pertemuan tertutup itu," katanya.

Isu pengganti Mohd Khalil menarik perhatian termasuk di media sosial sejak minggu lalu dan turut mengaitkan nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam, sebagai pengganti.

Selain Mohd Ali, nama lain disebut-sebut adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan yang juga bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim serta bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Mohd Khalil, 82, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Khidmat beliau untuk penggal keempat disambung semula pada 27 Mei 2016 sehingga 4 Jun ini.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 3:20pm
d