mutakhir

KKM sedia berdepan kluster hari raya

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Kesihatan sudah bersiapsiaga menghadapi kemungkinan kluster hari raya apabila orang ramai mula berkunjung ke rumah ketika Aidilfitri ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jika dilihat pada trend, sekiranya ada perhimpunan ia memungkinkan jangkitan berkenaan berlaku dan atas sebab itu pihaknya sudah bersedia menghadapi kluster terbabit.

"Kita melihat kepada jangkitan Covid-19 apabila ada perjumpaan besar-besaran, atau pergerakan besar dari satu tempat ke tempat lain, kita jangkakan jangkitan itu berlaku kerana kita tidak tahu virus itu ada di mana.

"Jadi kementerian sentiasa bersiap-sedia. Ini hanya kebimbangan pihak kita dan kita berdoa supaya tidak berlaku sebarang jangkitan.

"Paling penting rakyat Malaysia perlu patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah diberikan oleh kementerian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Kajian Klinikal di kementeriannya, di Putrajaya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes baharu Covid-19 rentas negeri di Kelantan, Dr Adham berkata pihaknya sedang mengenalpasti kontak rapat wanita terbabit dalam kadar segera.

"Kelantan sudah lama dikategorikan sebagai zon hijau, dengan adanya kes baharu ini ia memberikan kita lokasi yang diisytihar sebagai zon yang mempunyai kes aktif.

"Rentas negeri dibenarkan untuk mereka yang mendapat kebenaran, manakala hanya rentas daerah dibenarkan.

"Untuk rentas daerah hijau mereka perlu siap sedia untuk menjaga keluarga dan diri sendiri, kita perlukan jawatankuasa kampung untuk sentiasa pertahankan zon hijau mereka daripada ditembusi seperti mana yang berlaku di Kelantan," katanya.

Kelantan kembali mencatatkan jangkitan Covid-19 dengan kes terbaru di Kuala Krai, membabitkan seorang wanita mengandung.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Dr Izani dilaporkan berkata, wanita berkenaan pulang ketika sempadan negeri dibuka baru-baru ini dan mangsa dikatakan positif dan kini dalam rawatan di hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 3:59pm
    d