mutakhir

PATI mana mau lari ?

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KIRA-kira 200 warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah diberkas ketika pemeriksaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, selain tiada dokumen sah, pihaknya turut mengesan sekumpulan warga asing yang tinggal lebih masa ditetapkan di negara ini.

"Antara kesalahan warga asing yang ditahan itu adalah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

"Mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Khairul Dzaimee berkata, semua warga asing yang ditahan itu akan dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.

Operasi Imigresen itu yang dijalankan bermula jam 9 pagi dan berakhir tengah hari tadi, mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Difahamkan, operasi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) menjadi mudah berikutan kawasan PKPD itu dipasang kawad berduri.

Kawasan itu dikatakan dibanjiri warga asing daripada beberapa negara seperti Pakistan, Bangladesh dan India.

Terdahulu, pada 10 Mei lalu kawasan berkenaan diletakkan di bawah PKPD susulan peningkatan jangkitan Covid-19.

Berita berkaitan

Pasar Jalan Othman digempur Imigresen [METROTV]

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 4:19pm
d