mutakhir

Covid-19: Punca jangkitan di depoh imigresen disiasat [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

PUNCA jangkitan Covid-19 yang berlaku di depoh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur selepas seorang warga Myanmar didapati positif Covid-19 masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa hari lagi.

Katanya, seperti diketahui kumpulan yang berisiko dijangkiti Covid-19 adalah di pusat tahanan dan penjara kerana kepadatan penghuni di kedua-dua pusat itu.

"Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula, seramai 463 individu yang berada di pusat tahanan itu dan diasingkan di satu blok.

"Selepas PKP, lebih 1,000 warga asing di pusat tahanan berkenaan dan kita sudah melaksanakan saringan ke atas mereka dan dihantar pulang.

"Sekarang ini kita dimaklumkan seorang dikesan positif dalam kalangan tahanan sebelum PKP," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kini sedang mengesan kontak rapat dan menjalankan siasatan mengenai punca jangkitan itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes positif yang dicatatkan di Kuala Selangor kemungkinan berpunca dari kluster pasar borong.

Bagaimanapun, katanya, ia masih dalam siasatan dan perkembangan kes itu akan dimaklumkan sebaik laporan penuh diperoleh.

Kuala Selangor kembali memasuki zon kuning apabila empat mukim di daerahnya merekodkan kes aktif Covid-19, pada Isnin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:11pm
    d