mutakhir

Tak usah ambil tugas KKM

Oleh Zuliaty Zulkiffli

"ORANG ramai diminta menghentikan penyebaran berita berkaitan pesakit positif Covid-19 di media sosial kerana dibimbangi mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pelbagai berita disebar melalui Facebook berkaitan wabak itu dan sekiranya benar kes itu ada (positif) bukan tugas orang ramai untuk menyebarkannya.

Beliau berkata, biar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan tindakan susulan sekiranya ada pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19.

"Polis sentiasa memantau setiap maklumat di Facebook dan sekiranya sesuatu perkara itu tidak benar, kita boleh ambil tindakan terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan.

"Kita tak mahu suasana jadi panik disebabkan maklumat berkenaan sehingga mencetuskan suasana panik," katanya ketika ditemui melakukan pemantauan di Kompleks Beli Belah Aman Central, Alor Setar hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Zainuddin berkata, berdasarkan pemantauannya di pusat beli-belah itu, ramai pelanggan didapati berbaris panjang untuk membeli pakaian dan barang keperluan disebabkan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu katanya, kawalan di susur masuk lebuh raya ke negeri ini juga diperketatkan untuk mengelakkan ada yang cuba pulang ke kampung.

Beliau berkata, laluan di lebuh raya hari ini sesak disebabkan pemeriksaan ketat anggotanya yang dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan mereka mempunyai surat kebenaran masuk ke negeri ini.

"Lebih 2,000 anggota polis dan dibantu ATM bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk memantau pergerakan orang ramai terutama ketika hari raya ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:13pm
    d