mutakhir

Minta rasuah tukar sampel air kencing

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEMBANTU Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas kesalahan menerima rasuah daripada seorang peneroka untuk menukar sampel air kencing daripada positif kepada negatif, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Ghazali Muhamad Taib menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Nazrul Hafriz Md Saad, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Muhammad Nazrul Hafriz sebagai penjawat awam mengaku menerima suapan RM1,000 daripada peneroka itu bagi menukar sampel air kencing.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Simpang Tiga, Perantau Damai, Kerantong, Rompin, antara 1 tengah hari hingga 3 petang, 30 Ogos 2018.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.

Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:33pm
d