mutakhir

Tiada kes penyakit Kawasaki [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan

MALAYSIA tidak merekodkan sebarang kes membabitkan penyakit Kawasaki termasuk 317 kanak-kanak yang positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, langkah pencegahan perlu diambil untuk mengelakkan jangkitan kepada kanak-kanak.

Beliau berkata, penyakit Kawasaki adalah keradangan saluran darah atau vaskulitis terutamanya membabitkan kanak-kanak muda di bawah umur lima tahun.

"Kanak-kanak umur lima tahun ke bawah yang diserang sindrom ini akan mengalami gejala demam dan ruam di kawasan tertentu.

"Apabila virus menyerang saluran darah, jantung dan sebagainya ia akan melemahkan jantung serta saluran itu.

"Setakat ini di Malaysia tiada kanak-kanak yang direkodkan sindrom Kawasaki," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham memberikan reaksi berkenaan bagi mengulas laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mendakwa terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif Covid-19.

Sebelum ini, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu dipetik sebagai berkata, laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

Ketua Teknikal Covid-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove pula dilaporkan berkata, ia adalah satu keadaan yang sangat jarang berlaku dan WHO mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza pada kanak-kanak yang diuji positif Covid -19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes menggambarkan penyakit akut yang disertai oleh sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 6:36pm
    d