mutakhir

Mayat reput dalam semak

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

MAYAT lelaki berusia 50-an ditemui dalam keadaan terlentang di kawasan semak, di Kampung Balik Bukit, di Jertih, semalam.

Mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira lima hari lalu ditemui orang awam sebelum ia dimaklumkan kepada polis, jam 6.44 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Sek Chee Chuan beralamat di Taman Teratur Jertih.

"Siasatan awal mendapati mayat reput itu ditemui dalam semak berhampiran Masjid Kampung Balik Bukit.

"Mangsa memakai baju-T warna hijau, tidak berseluar dan berselipar warna biru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, jarak mayat ditemui dengan kawasan rumah berhampiran adalah 50 meter.

"Lokasi kejadian lebih kurang 100 meter dari jalan utama Jerteh - Pasir Akar dan berhadapan Hospital Daerah Besut.

"Berdasarkan semakan rekod orang hilang Daerah Besut, tiada sebarang laporan orang hilang dalam tempoh sebulan," katanya.

Dia berkata, Pihak Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Besut hadir membantu siasatan di tempat kejadian.

"Mangsa dipercayai kurang siuman dan ahli keluarga dimaklumkan untuk pengecaman.

"Mayat dibawa ke unit Forensik di Hospital Daerah Besut untuk untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu salah seorang penduduk enggan dikenali berkata, lelaki itu pernah dilihat berjalan di kawasan itu untuk mencari makanan.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 8:27am
d