mutakhir

Lesap hampir RM500,000

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG pesara di Rompin terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan pegawai polis.

Mangsa, wanita berusia 59 tahun dikatakan terpedaya dengan dakwaan sindiket berkenaan yang mendakwa dia terbabit dengan kes perjudian haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 29 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai kakitangan TM.

"Suspek memberitahu bahawa nama mangsa digunakan untuk mendaftarkan nombor telefon yang baru bagi perjudian haram.

"Namun mangsa menafikan dakwaan berkenaan dan individu itu menyambungkan panggilan kepada kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membuat laporan polis untuk penafian," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Tuan Khairul'.

"Semasa bercakap dengan 'Tuan Khairul', mangsa diminta untuk menyerahkan maklumat peribadi miliknya seperti akaun bank yang dimiliki, barang kemas, berapa banyak kenderaan dan rumah.

"Selepas itu, mangsa diarahkan untuk memberikan 16 digit nombor kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tiga digit nombor di bahagian belakang dan tarikh tamat kad berkenaan," katanya.

Menurut beliau lagi, wanita warga emas itu mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek dengan menyerah maklumat kad ATM bagi tiga akaun bank miliknya.

"Selepas mengikut arahan berkenaan, 'Tuan Khairul' memaklumkan akan menyambungkan panggilan itu ke 'Puan Normila' yang dikatakan pegawai polis Bukit Aman.

"Mangsa bercakap dengan 'Puan Normila' sebelum mangsa diarahkan untuk membuat beberapa pindahan wang miliknya ke akaun yang diberikan oleh suspek kononnya bagi melindungi wang itu," katanya.

Katanya lagi, tanpa mensyaki apa-apa mangsa membuat 30 kali kali pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang berlainan bermula 29 April sehingga 15 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM424,650.

"Selepas itu baru mangsa menyedari dirinya sudah ditipu oleh sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 8:38am
d