mutakhir

Perketat sempadan di Sungai Golok [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

PENGAWASAN sempadan di sepanjang pinggir Sungai Golok di Tumpat akan lebih diperketatkan menjelang Aidilfitri.

Ia dikhuatiri akan berlaku lintas sempadan membabitkan rakyat negeri ini dan beberapa kampung di selatan Thailand memandangkan Aidilfitri hanya berbaki beberapa hari saja lagi.

Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, umum mengetahui masyarakat di pinggir Sungai Golok sama ada di sebelah Pengkalan Kubor atau kampung di negara jiran mempunyai hubungan kekeluargaan dan ia dibimbangi akan berlaku lintas sempadan terutama menggunakan lorong tikus.

"Sembilan pasukan yang ditubuhkan dengan diketuai seorang pegawai sudahpun menjalankan tugasan rondaan sejak sebelum ini.

"Penugasan itu akan diperketatkan lagi menjelang Aidilfitri terutama di lorong tikus sepanjang pinggir Sungai Golok malah beberapa agensi penguatkuasaan lain turut menjalankan tugasan yang sama," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, semalam.

Ab Rashid ditemui selepas menerima sumbangan makanan keperluan sempena Aidilfitri daripada Yayasan Che Mas kepada pesara polis membabitkan IPD Tumpat.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan itu dan ia akan diserahkan kepada setiap ketua balai masing-masng untuk diagihkan kepada penerima.

Sementara itu penasihat Yayasan Che Mas, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis yang berkhidmat untuk negara.

Beliau berkata, walaupun sudah bersara, jasa anggota keselamatan tidak boleh dilupakan kerana tugasan mereka selama ini adalah demi keselamatan negara.

"Sumbangan kecil ini adalah sebagai tanda ingatan terhadap mereka dan untuk petugas barisan hadapan yang lain pun kami sudah agihkan sebelum ini.

"Yayasan Che Mas akan sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebegini dalam pelbagai bentuk sama ada barangan, kewangan atau sebagainya," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 10:50am
d