mutakhir

Individu rentas negeri ke Kelantan perlu jalani saringan Covid-19

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

INDIVIDU yang melakukan pergerakan rentas negeri masuk ke Kelantan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas, hari ini susulan seorang wanita hamil di Kuala Krai disahkan positif wabak itu.

Katanya, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri akan berada di sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri termasuk di Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk melakukan saringan.

"Kita putuskan hari ini mereka yang pulang perlu menjalani ujian Covid-19 berkuat kuasa serta-merta. Tidak kira yang pulang dengan pesawat atau kereta, mereka akan menjalani ujian berkenaan di SJR dan lapangan terbang.

"Justeru, kita menasihatkan mereka yang pulang ke Kelantan tidak menggunakan laluan tikus bagi mengelak daripada menjalani ujian saringan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKKN Khas di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Zaini Husin.

Pada masa sama, Dr Izani berkata, pihaknya turut mewajibkan pemakaian pelitup muka terutama di premis tertutup.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai juga akan membuat sanitasi pembersihan di pasar borong Kuala Krai," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, wanita hamil yang positif Covid-19 di Kelantan, dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, wanita itu hanya disahkan positif wabaik ti apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 2:59pm
    d