mutakhir

Terbakar tubuh, tong gas meletup

Oleh Ruwaida Md Zain

SEORANG lelaki melecur tangan, kaki serta belakang tubuh sejurus tong gas memasak di rumahnya meletup mendadak.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam tadi, binaan dan bumbung rumah mangsa di taman Banting Baru, Selangor, turut mengalami kerosakan teruk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, Muhammad Fadzrul Azren Md Razif berkata, mangsa yang masih dalam keadaan sedar berjaya diselamatkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi sekitar jam 9.52 malam.

"Sebaik tiba, bomba mendapati kebakaran berpunca akibat letupan tong gas yang sudah dipadamkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati letupan itu juga mengakibatkan beberapa bahagian siling dan bumbung rumah mengalami kerosakan," katanya ketika dihubungi tadi.

Muhammad Fadzrul Azreen berkata, mangsa yang berumur 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu Grab itu tinggal seorang diri di rumah teres yang disewanya itu.

"Mangsa mengalami cedera ringan akibat melecur di bahagian tangan dan kaki serta bahagian belakang badan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Banting menggunakan jentera unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS). Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Katanya, operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya kira-kira jam 11.05 malam tadi.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 4:08pm
d