mutakhir

Beraya di lokap bahana jual ketum

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

EMPAT lelaki termasuk dua beradik bakal menyambut Aidilfitri di lokap selepas ditahan polis kerana terbabit dalam penjualan air rebusan ketum di Felda Lui Selatan, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, keempat - empat suspek yang turut mempunyai ikatan kekeluargaan itu berusia 19 dan 34 tahun.

"Kesemua suspek diberkas pada jam 9 malam Selasa lalu, susulan serbuan di sebuah rumah di tanah rancangan berkenaan oleh anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen ( IPK ) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

"Ketika serbuan, kesemua suspek berada di hadapan rumah. Mereka tinggal bersama di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Jempol, Negeri Sembilan.

Katanya, polis yang membuat pemeriksaan di sekitar tempat letak kenderaan menjumpai enam bungkus plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 30 kilogram bernilai RM900.

"Polis turut menjumpai dua botol air ketum dengan isipadu 2.5 liter, satu kotak mengandungi 43 botol ubat batuk dan sebuah kotak berisi empat bungkusan warna merah mercun dan empat kotak bunga api," katanya.

Mohd Khairiel berkata, air ketum yang diproses suspek dijual di sekitar felda ini.

Katanya kesemua suspek yang bekerja sendiri direman untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 5:08pm
d