mutakhir

Lebih dua bayi mangsa pemalsuan dokumen? [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS tidak menolak kemungkinan lebih daripada dua bayi disyaki menjadi mangsa pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan oleh ejen yang ditahan di Arau pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan lebih sembilan individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

"Ya, memang lebih (tangkapan melebihi sembilan individu), bayi yang disyaki menjadi mangsa kepada kegiatan ini juga lebih (daripada yang dimaklumkan kepada media).

"Tetapi, kita masih menjalankan siasatan terperinci dan saya tidak mahu mengulas lanjut kerana akan ada lagi tangkapan," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) di Ulu Pauh, Arau, hari ini.

Terdahulu, Surina menyampaikan sumbangan kuih raya kepada petugas barisan hadapan di Perlis yang bertugas sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 9 Jun depan.

Sementara itu, sembilan suspek yang ditahan polis sebelum ini bagi membantu siasatan dibebaskan, hari ini dengan jaminan polis.

Difahamkan, siasatan kes berkenaan hampir lengkap dan dipercayai kertas siasatan akan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi menetapkan tarikh pertuduhan akan dijalankan.

Pada 8 Mei lalu, polis menahan lima individu termasuk suami isteri dan ibu kepada bayi lelaki berusia tiga bulan serta dua ejen sebagai orang tengah selepas terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan hak milik bayi berkenaan.

Susulan tangkapan, pihak polis turut menahan seorang pakar sakit puan berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Alor Setar, Kedah bersama seorang lagi ejen selepas disyaki membantu pasangan suami isteri dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang memperoleh penjagaan bayi itu dengan memalsukan dokumen kelahirannya.

Bagaimanapun, soal siasat yang mengambil masa hampir dua minggu itu turut membawa kepada penahanan suami isteri berusia 50-an dari Ipoh, Perak, kelmarin bersama seorang bayi lelaki berusia lapan bulan disyaki turut menjadi mangsa pemalsuan dokumen oleh ejen terbabit.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 5:11pm
d