mutakhir

Pemandu mabuk wajar dikenakan hukuman berat

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN digesa meminda hukuman kepada pemandu mabuk dengan mengenakan denda lebih tinggi, penjara dan hukuman sebat bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, gesaan itu terkandung di dalam memorandum yang akan diserahkan kepada kerajaan susulan beberapa kemalangan akibat kelalaian pemandu baru-baru ini.

Katanya, pihak berkuasa juga perlu memansuhkan tahap kebenaran alkohol seperti yang dibenarkan ketika ini demi memastikan semua pemandu berada dalam keadaan fokus ketika pemanduan.

"Kita juga meminta supaya minuman beralkohol tidak lagi dijual secara terbuka dan minum secara terbuka kerana ini adalah punca berlakunya kemalangan.

"Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengetatkan pemberian dan permohonan lesen menjual minuman keras selain meningkatkan kadar cukai dan harga jualan minuman beralkohol sedia ada," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, kertas cadangan berhubung isu berkenaan akan dibawa kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam pertemuan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Mohammad Hisham berkata, peluang untuk memandu di jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan normal baharu perlu dijadikan panduan kepada pengguna jalan raya untuk lebih berhemah pada masa depan.

Beliau berkata, dengan lebih 100 sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan ketika ini, ia boleh mendisiplinkan pemandu supaya lebih bertimbang rasa serta menghormati orang lain.

Katanya, ini adalah waktu terbaik bagi pemandu di Malaysia mengubah cara pemanduan kerana jumlah kenderaan yang berkurangan serta pemantauan penuh oleh pihak berkuasa yang berbeza daripada sebelum ini.

"Ini mungkin hikmah daripada PKPB. Sebelum ini semua orang tergesa-gesa ke tempat kerja, tetapi sekarang ini lebih tersusun pergerakan di atas jalan raya.

"Pun begitu, PPJK mendapati masih ada yang memandu secara terburu-buru walaupun berada tidak jauh daripada SJR, mereka masih gopoh. Mungkin kita perlukan lebih pemantauan daripada pihak berwajib," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 6:24pm
d