mutakhir

Rampas rokok, arak RM3.43 juta

Oleh Mohd Roji Kawi

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM3.43 juta dalam satu penjejakan dan serbuan di setor syarikat pengangkutan berlesen di kawasan Perindustrian Demak Laut, Kuching, semalam.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan 12 tengah hari oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JKDM Sarawak itu, sebanyak 1,770 juta batang rokok dan 26,308.80 liter bir dan arak ditemui.

Beliau berkata, anggaran nilai barang rampasan itu sebanyak RM1.13 juta serta jumlah anggaran amaun duti kastam adalah RM2.3 juta.

"Bertindak atas maklumat sumber, sepasukan anggota JKDM menjejak dan mengekori sebuah lori treler sarat membawa muatan dalam kontena disyaki dagangan belum lulus kastam.

"Treler berkenaan dipercayai bergerak dari bahagian tengah atau utara Sarawak.

"Hasil intipan, penjejakan dan pemantauan selama tiga jam di sepanjang jalan Serian-Kuching, akhirnya pasukan berjaya memintas treler itu di Batu 15, jalan menuju Kota Samarahan sebelum mengekorinya sehingga ke sebuah premis syarikat pengangkutan beroperasi di Kawasan Perindustrian Demak Laut," katanya dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Halimah berkata, barangan kes disita dan dibawa ke Setor Penguatkuasaan Demak Laut untuk siasatan lanjut dan pemandu serta pengurus gudang syarikat berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, penyeludup menggunakan syarikat pengangkutan berlesen untuk mengangkut rokok dan minuman keras itu bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahu atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 8:06pm
d