mutakhir

Lelaki maut dalam kebakaran bilik

Oleh Balqis Jazimah Zahari

LELAKI ditemukan maut dalam sebuah bilik di tingkat atas rumahnya dalam kebakaran di Taman Ipoh Garden East, Ipoh, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.31 pagi sebelum sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dihantar ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat sebaik tiba.

Katanya, anggota bomba dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru berjaya mengawal api dalam tempoh 15 minit sebelum padam sepenuhnya pada 10.50 pagi.

"Kemusnahan hanya membabitkan sebuah bilik di tingkat atas dan terdapat seorang mangsa lelaki berusia 44 tahun ditemui mati dengan kesan melecur 60 peratus pada badan di dalam bilik berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 3:38pm
d